Jodoh Datang Tersalah Waktu

Assalamualaikum wrt.

InsyaAllah hari ini saya ada sedikit perkongsian buat semua pembaca. Penulisan ini terhasil daripada adaptasi pembacaan, pertanyaan, perkongsian dan pengalaman sahabat-sahabat serta situasi yang berlaku di dunia maya jua dunia realiti sekeliling kita sebagai seorang insan.

[AWAS, Penulisan ini tiada kaitan dengan penulis, yang hidup atau yang sudah mati]

[Set dalam minda awal-awal perkongsian ini tidak berkait dengan couple, tetapi berkait rapat dengan cinta yang menginginkan alam perkahwinan] 

JOM BACA...

Ada seorang adik datang kepada seorang kakak kerana ingin bertanyakan sesuatu.

"Kak, memandangkan akak lebih dewasa daripada saya, saya rasa akak sudah biasa mengalami situasi seperti yang saya hadapi sekarang ini. "

"Akak pernah melalui zaman remaja seperti awak, jika akak tak pernah alami pun insyaAllah akak akan cuba berkongsi pengalaman yang akak pernah kutip daripada orang-orang hebat untuk awak."

"Akak, sebenarnya saya pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang status saya. Maksudnya dia merisik saya. Apa yang saya harus saya lakukan?"
___________________________________________________________________________

Ada adik yang datang bertanyakan,

"Akak, saya suka dekat seorang wanita solehah ini, apa yang perlu saya buat? Boleh akak jadi orang tengah saya dan dia?"
____________________________________________________________________________

Ada juga,

"Kak, kalau saya suka seseorang apa yang perlu saya buat? Walaupun saya masih muda tetapi saya ada wawasan dan sebab untuk melaksanakan langkah seterusnya."

"Saya sudah ada perancangan kak, InsyaAllah saya cuba ikut perancangan itu."

"Tapi kak, keluarga saya mahu saya habiskan belajar dahulu. Cuma pihak sana mahukan kami berkahwin semasa masih belajar. Bagaimana kak?"

_____________________________________________________________________________

"Saya rasa saya mampu untuk seimbangkan keluarga dan belajar. Tapi keluarga saya tak izinkan."

"Saya rasa saya tak mampu nak beri komitmen keluarga dan belajar sekaligus. Keluarga saya pun tak bagi."
_____________________________________________________________________________

Begitulah situasi yang dialami oleh para remaja sekarang. Pelbagai persoalan dan jawapan tentang JODOH sudah menjadi viral di laman media sosial sekarang ini. Ramai remaja mengambil mudah dan menjadikannya hujah sedang mereka sendiri hanya ikut-ikutan.

Alhamdulillah juga tahniah kepada adik-adik dan saudara-saudara yang mampu dan telah berkahwin awal pada usia muda dan ketika masih belajar. Sedikit sebanyak perkongsian anda memberi inspirasi dan panduan untuk nereka yang akan mengikuti jejak langkah anda pada masa depan.

Tetapi bagi yang mengalami pelbagai konflik diri, pasangan atau keluarga, saya harap mohon bersabar dan usah cemburu dengan sesiapa kerana JODOH anda telah ditulis dan setiap insan berbeza kemampuan serta ujian yang Allah akan berikan.

Jadi, apakah yang harus kita lakukan jika JODOH DATANG TERSALAH WAKTU? bagaimanakah caranya?

Sebelum itu, akak tekankan sebenarnya tiada istilah jodoh datang tersalah waktu kerana Allah tetapkan sebaik-baik ketetapan. Tetapi yang menjadikan istilah itu wujud apabila diletakkan dalam situasi seseorang yang masih tidak memikirkan soal perkahwinan atau berfikir tetapi ada perkara lebih aula yang mesti diutamakan. Jadi calon-calon jodoh yang hadir menjadi tersalah waktu buatnya.

Allah memberikan kepada kita akal fikiran, dia telah menjadikan pelbagai testimoni kekeluargaan dan dia juga telah memberikan panduan Al-Quran & As-Sunnah untuk kita amalkan.

Adik-adik mohon bersabar dan mohon bertenang. Jika adik-adik terburu-buru, akak risau keputusan yang adik-adik akan buat di luar jangkaan yang boleh menimbulkan penyesalan seumur hidup adik-adik.

Mari akak cerita satu perkara,

Zaman remaja bermula setelah adik-adik baligh, akak nak tanya, adik pernah rasa sesuatu yang aneh tak?

Ya.Aneh. Contohnya seperti perubahan fizikal, perubahan hormon dan perubahan rasa hati?

Pasti pernah kan? Perubahan rasa hati itulah perasaan C.I.N.T.A atau kecondongan hati adik-adik kepada jantina yang berbeza. Mudah kata adik jatuh cinta dengan wanita atau lelaki yang adik tengok lawa / tampan.

Kenapa akak sebut tentang itu?

Adik-adik patut sedar yang perasaan cinta itu F.I.T.R.A.H istimewa yang Allah kurniakan sebagai sunnatullah kepada manusia seperti kita. Permulaan kehidupan kita sebagai remaja dihiasi dengan pelbagai keistimewaan dan ujian. Adik-adik juga perlu sedar yang menjadi remaja itu tersangatlah istimewa. Cuma, tidak semua remaja dapat merasai keistimewaan itu jika tersilap langkah. Bagaimanakah untuk menjadi remaja yang istimewa itu?

Mudah sahaja... Jika adik-adik berjaya melalui ujian CINTA remaja sehinggalah adik-adik masuk ke alam belia dan alam seterusnya.

Tadi akak sebut cinta itu istimewa, sekarang akak cakap cinta ini ujian pula. Mana satu kak?

Firman Allah yang mafhumnya, setiap makhluk yang Allah ciptakan berpasang-pasangan. betul? Begitu juga Allah ciptakan baik pasti ada buruk sebagai pasangannya. Cinta pun ada yang baik dan ada juga cinta yang buruk. Semuanya bermula bagaimana kita merancangnya. Jika kita merancang ke arah kebaikan, terhasillah Cinta yang baik dan sebaliknya.

Ada kata-kata mengatakan, zaman remaja itu zaman yang paling mencabar daripada zaman-zaman lain, jika semua remaja mampu menjalaninya dengan jaya, pasti zina tidak akan berlaku.

Kata-kata As Syahid Imam Hassan al-Banna, "Dalam setiap kebangkitan, pemuda ialah rahsianya kekuatannya. Dalam setiap fikrah pemuda ialah pengibar panji-panjinya."


Ada mutiara kata mengatakan juga, "Jika ingin melihat masa depan negara, lihatlah remja pada hari ini."

Banyak bukan kata-kata untuk remaja sahaja? Semuanya menunjukkan betapa besar dan istimewanya peranan seorang remaja. Bagaimanakah kita mampu capai semua ini?

Jatuh remaja juga kerana cinta, bangun remaja juga dengan cinta. Itulah Kuasa Cinta kepada remaja.

CINTA dan JODOH saling melengkapi. Samada kerana Cinta bertemulah Jodoh atau kerana Jodoh hadirlah Cinta. Tiada yang betul, tiada yang salah tentang dua frasa itu. Kedua-duanya boleh diterima mengikut perancangan kita. Jika ke arah kebaikan, makanya diterima.

Semua sudah jelas bukan tentang REMAJA dan CINTA?

Berbalik kepada kisah asal kita,

Bagaimana harus dihadapi situasi jodoh terawal, orang datang merisik, melamar dan sebagainya?

Pertama sekali kita perlu tahu dan faham apakah definisi jodoh? Senang sahaja kan?

Menurut kamus dewan, jodoh itu ialah sesuai/ pasangan hidup/ matlamatnya ke arah perkahwinan. Kita sudah tahu maksud jodoh. Kesimpulan mudahnya ialah pasangan hidup yang sesuai dan layak dikahwini sudah pun ditemui setelah istikharah.

Seterusnya kita lihat pula psikologi umum seorang wanita dan lelaki.

Psikologi ringkas bagi seorang wanita, lumrahnya menanti, teliti dan mudah menyukai seseorang. Bagi seorang lelaki pula, lumrahnya mencari teliti tetapi susah untuk menyukai seseorang. Umumnya begitulah, cuma untuk lebih difahami, akak beri sedikit contoh.

Lumrah wanita menanti,
- Jika datang seorang lelaki menyatakan hasrat kepadanya, pasti dia sedikit sebanyak akan rasa suka meski pun dia tahu tentang lelaki itu. Jika sebelum diluah, dia sudah ada perasaan itu, inikan pula bila meluahkan. Semua itu dinamakan pucuk dicita ulam mendatang.

Lumrah lelaki mencari,
- Jika dia ingin mencari pastinya dia mahukan yang solehah dan menepati ciri-ciri yang telah dia tetapkan. Jika dia sudah bertekad untuk meluahkan bermaksud itulah keyakinannya.

Perkara di atas semuanya perkara umum, ianya mampu diubah atau berubah mengikut keadaan seseorang.

Keduanya, apakah MATLAMAT/HALA TUJU adik-adik sebagai remaja?

Pastinya adik-adik mempunyai tujuan hidup bukan? Biar pun adik-adik bukanlah pelajar yang setiap tahun sediakan matlamat dan azam tampal dalam bilik tetapi rasanya setiap orang ada matlamat jelas yang dia mahu capai setiap kali usianya bertambah.

Contohnya. selepas darjah 6, kita sentiasa berfikir sekolah mana kita mahu sambung belajar di peringkat menengah. Semasa di tingkatan 1, kita berfikir bagaimana mahu ke tingkatan 2? Jawapannya belajar bersungguh-sungguh. Setelah masuk tingkatan 3, dulu kita fikir selepas PMR kemanakah kita? sekarang selepas PT3, kemanakah kita? Selepas tamat SPM, kita pasti fikir tingkatan 6 ke matrikulasi ke politeknik ke universiti ke bagaimana?

Kesimpulannya kita ada matlamat kita.

Makanya kembalilah kepada matlamat asal kita dahulu. Akak rasa semua cakap begini ketika masuk universiti, saya mahu belajar bersungguh-sungguh, banggakan ibu bapa dengan pencapaian dan bergraduasi dengan cemerlang. Tanyalah sesiapa pun pasti inilah jawapan mereka. Namun tidak dinafikan disebalik semua itu, ada yang meletakkan perancangan tentang jodohnya di antara item-item tersebut. Salahkah? Tidak salah sama sekali adik-adik, bahkan semua itu perancangan rapi sebenarnya. [Thumbs up] 

[Diingatkan] Kalian tidak diizinkan lagi oleh ibu bapa jika mahu meneruskannya atau kalian diizinkan tetapi kalian sendiri rasa tidak mampu untuk seimbangkan. Sebenarnya ibu bapa kita bukanlah teruk sangat tidak mahu berikan kita kemudahan untuk berkahwin. Selama ini sudah banyak perkara dikorbankan untuk kita, jadi tak kan perkahwinan pun kita mahu mereka yang tanggung sepenuhnya? Ya perkara mudah cuma berikan keizinan tetapi sejauh manakah persediaan kita tentang alam perkahwinan? Ibu bapa lebih mengetahui asam garam hidup berumah tangga, jadi hormatilah keputusan mereka.

JAWAPANNYA...

Wahai Adik Gadis...

1) Fokuslah adik-adik untuk mencapai matlamat itu.
2) Tegaslah dengan sebuah keputusan.
3) Hindarilah daripada memberi harapan. Tolaklah dengan baik. Jika si dia mahu menunggu silakan tetapi kita dengan matlamat kita.
4) Jauhilah ikhtilat. Meski sudah terjebak, berpatah baliklah ke jalan yang diredhai. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita yang mahukannya.
5) Hindarilah daripada mendekati zina anggota badan dan hati.
6) Buatlah persediaan rapi tentang alam rumah tangga.
7) Jadilah yang terbaik untuk mendapat yang terbaik.
8) Istikharah dan sentiasalah bergantung kepada Allah. Jika ada jodoh antara kalian, tidak ada yang mustahil.
9) Sampai masa yang adik yakin,terimalah.

Wahai Adik Jejaka...

1) Fokuslah adik-adik untuk mencapai matlamat itu.
2) Berlapang dadalah dengan sebuah keputusan.
3) Hindarilah daripada memberi harapan. Terimalah dengan baik. Jika adik mahu menunggu silakan tetapi berusahalah ke arah matlamat.
4) Jauhilah ikhtilat. Meski sudah terjebak, berpatah baliklah ke jalan yang diredhai. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita yang mahukannya.
5) Hindarilah daripada mendekati zina anggota badan dan hati.
6) Buatlah persediaan rapi tentang alam rumah tangga.
7) Jadilah yang terbaik untuk mendapat yang terbaik.
8) Istikharah dan sentiasalah bergantung kepada Allah. Jika ada jodoh antara kalian, tidak ada yang mustahil.
9) Sampai masa yang tepat,lamarlah.

Ketiga, akak nasihatkan adik-adik perbanyakkanlah membaca buku-buku soal cinta dalam islam, panduan-panduan ke alam perkahwinan mengikut lunas-lunas islam serta perkongsian penceramah tentang cinta dalam islam. InsyaAllah adik-adik sedikit sebanyak akan mendapat inspirasi dan kekuatan untuk bermujahadah dan adil dalam percintaan.

Akak tahu adik-adik pasti risau kalau tolak calon jodoh yang soleh atau solehah nanti belum tentu dapat yang lebih baik. Adik, kembalilah kepada asas pergantungan kepada Allah. Allah sudah tetapkan jodoh kita. Mengapa kita perlu takut? Allah pencipta manusia, agak-agak jika kita jauh daripada cinta Allah, adakah Allah akan memberikan kita yang terbaik? Dapatkahlah cinta Allah dahulu, nescaya Allah akan berikan apa yang kita mahukan.

Mari akak kongsikan kisah sahabat akak yang boleh diambil pengajaran,

Kita tahu potensi dan perfomance diri kita dengan Allah dan manusia. Kita tahu kelebihan dan kekurangan kita. Kita sering kali melihat orang lain diuji dengan pelbagai ujian yang berbeza, kita dengan ujian kita, orang dengan ujian mereka. Suatu hari terdetik di dalam hati sahabat ini, adakah aku mampu jika aku diuji dengan ujian percintaan? Sedari sekolah dia sentiasa menjaga batas-batas pergaulan dan sentiasa takut serta risau jikalau dia harus berhadapan dengan lelaki. Pandang sekilas pun dia takut. Begitu terjaga suasananya. Masa kian berlalu, langit tak selalu cerah, Allah uji dia dengan hadirnya rakan yang pernah terjebak dengan cinta monyet, dia mampu bermujahadah setelah berkali-kali cubaan mendatang sehinggalah dia berada di suatu tempat yang dikatakan 1001 lubuk ujian. Jika ujian itu tidak pernah kita lalui, Di sana pasti kita akan melaluinya kerana tiada lagi yang mampu membendungnya melainkan kekuatan iman dan hati kita. Hadirnya seorang lelaki merisiknya kala dirinya terleka dengan ujian-ujian kecil. Saat itu tersentak dia serta prinsipnya. Dia bertanyakan dirinya, adakah lelaki yang hadir itu sebagai ujian ataupun jodoh? Siapakah dia? Layakkah aku untuk dia yang sebaik itu mengetuk hatiku? Layakkah dia untuk aku yang entah begini rupa? Apakah yang aku perbuatkan sehingga dia hadir tika aku telah pun teruji? Begitu banyak persoalan hadir di benak fikirannya kerana dia telah terleka ketika itu. Tahukah adik-adik, setelah diselidiki sang calon jodoh itu reflek buat dirinya. Selepas itu, ada lagi yang hadir saat dia mula meniti jalan pulang. Ya, calon itu juga seperti dirinya yang cuba menjadi terbaik. Betul apa yang sering diperkatakan, " Jodoh kita ialah siapa diri kita ketika itu." Jika baiknya kita, baik jugalah jodoh kita dan sebaliknya. Subhanallah nampak tak ibrahnya?



JANGAN sibuk mencari yang BAIK andai diri belum baik.


Lebih baik PERBAIKI diri menjadi baik.



INSYAALLAH akan dihadiahkan JODOH yg TERBAIK.





Buku yang akak sarankan :



1) Pemilik Cinta Setelah Allah dan Rasul
2) Cinta Potato Spring
3) Saat Hati Berdebar Cinta
4) Tarbiah Sentap
5) Motivasi Cinta
6) Rahsia Memiliki Pasangan Tanpa Couple (RMPTC)



PROMOSI EBOOK RMPTC
(Muaz Faris & Izzat Roslan)

"Setelah saya membaca ebook tersebut semangat untuk bermujahadah dengan jalan yang saya pilih ini semakin membuak-buak. Meskipun perkara sudah jelas lagi bersuluh tentang larangan Couple. Saya pun tak pernah terfikir untuk mencubanya namun sebagai panduan pencegahan saya berusaha untuk memiliki buku ini. Alhamdulillah bahasa dan isinya mudah tetapi inspirasinya membuatkan saya kuat hari ini."

SEKIAN PROMO...


Keempat, akak nak adik-adik tahu yang calon Jodoh yang hadir itu juga boleh jadi ujian buat kita. Kenapa kak? Kenapa? Sabar, sabar dik. Adik, adik boleh pastikan ke calon jodoh yang datang dekat kita hanya seorang sahaja? Jodoh memang seorang untuk kita (tak masuk tajuk kalau jodoh ramai.heee) tetapi adik dapat pastikan ke yang seorang itu jodoh kita? Terkadang setelah kita istikharah, atau dia istikharah atau setelah sesi taaruf salah seorang ingin menolak. Pastinya calon jodoh lain akan dicari dan akan hadir. betul? maka ianya juga boleh dikatakan ujian buat kita untuk menentukan cara mengenalinya. Kadang kita menjadi leka melayan perasaan dan akhirnya jatuh kekancah yang tidak diingini. haaaaaa..... Tidakkah itu ujian terbesar?

Tahukah adik-adik JODOH yang baik itu sangat pelik. kadang-kadang jodoh datang terlambat, kadang-kadang jodoh datang terawal dan kadang-kadang jodoh datang tersalah waktu. Saat kita tidak bersedia dia hadir kerana itulah ujian untuk menguji tahap keimanan kita. Namun, saat kita sudah bersedia, jodoh tidak kunjung tiba, pergi bagai tiada jejak. Itulah lumrah kehidupan penuh ujian pancaroba. Bagi memiliki barang yang baik, sangatlah susah, pelbagai tapisan yang Allah lakukan sebagai tanda kasih sayangnya kepada kita. Bukan bermakna kita atau jodoh itu tidak layak tetapi Allah mahukan yang terbaik buat hamba-hambanya. Ambillah ibrah sebaik mungkin di dunia ini kerana dunia inilah pentas lakonan dan akhirat itulah pentas anugerah gilang gemilang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan di dunia akan di persoalkan di akhirat kelak. Jika kita mampu menjawabnya, buatlah. Jika tidak berfikirlah sebelum anda membuat sesuatu keputusan. Jangan sampai kita dipetanggungjawabkan dengan kesalahan yang kita sendiri tidak menyedarinya. 

Pilihlah jodoh dengan sebaik mungkin, melalui cara yang baik. Semoga rumah tangga yang akan dibina dalam rahmat dan redha Allah.

Akhir sekali, insyaAllah post akan datang akak akan kongsi sedikit panduan yang akak kutip daripada buku-buku yang telah dibaca. 

Sebelum itu akak ingin senaraikan

5 Punca Jodoh Datang Tersalah Waktu

1. Sebagai ujian buat diri
2. Menyedarkan kita supaya sentiasa mempersiapkan diri
3. Mengingatkan kita supaya lebih dekat kepada Allah, Rasul dan Ibu bapa
4. Mematangkan kita dengan tangungjawab sekarang dan masa hadapan
5. Mengajar kita tentang realiti sebuah kehidupan

Begitulah kuasa Jodoh, begitulah kuasa Cinta. Mampu mengubah sesuatu yang sudah mustahil untuk diubah.

Orang hina menjadi mulia,
Orang gagap menjadi petah,
Orang pengecut menjadi pemberani...

Fatimah Syarha

Tiada yang mustahil melainkan tidak mencuba.


Eh akak, akak tak jawab lagi persoalan-persoalan yang ada di atas tu?


Adik, sebenarnya akak sudah pun menjawabnya. Ada matlamat follow matlamat itu. Setiap matlamat dan garis panduan kita berbeza. Semua yang disenaraikan itu cuma perkara umum yang perlu adik ambil perhatian. Jika belum selesai perkara pertama, akak rasa tiada isu dengan soalan lain. Setelah selesai semua itu. Mohon bagi akak KAD JEMPUTAN ye?

SELAMAT MEMBACA.


Jika ada yang perlu diperbetulkan, mohon bantu saya.

{AWAS! Penulisan ini ialah pendapat peribadi. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa.}

Comments

Popular posts from this blog

Mini Birthday Giveaway by MiminAdam

[Join] GIVEAWAY : MUDAHNYA NAK MENANG HELLO KITTY DI SHEHANZSTUDIO.COM

Let's Join Giveaway 7 HARI by Syira Lokman